KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersedih apabila mengetahui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Beliau mendoakan semoga Allah memberi kesembuhan kepada Najib dan sentiasa melindunginya daripada sebarang bahaya.
“Tuhanku, Tuhan manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan kerana Kau adalah penyembuh. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Kau dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit,” katanya dalam doa yang dikongsikan menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini.
Ahmad Zahid turut berharap agar keluarga Najib tetap tabah dan cekal menghadapi dugaan itu.
“Insya-Allah kebenaran akan terlihat apabila tiba masanya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pegawai Najib mengesahkan Ahli Parlimen Pekan berkenaan dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan baru-baru ini dan kini berada dalam keadaan stabil. – MalaysiaGazette