Antara dadah yang dirampas polis daripada dua tokan dalam serbuan di Butterworth serta Sungai Dua, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

SEBERANG PERAI – Kegiatan dua lelaki aktif dalam pengedaran dadah heroin dan ganja di negeri ini terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Butterworth dan Sungai Dua, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Mohd Radzi Ahmad berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya menahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu.

“Hasil pemeriksaan dalam serbuan itu membawa kepada rampasan 14 bungkus dadah jenis heroin seberat 6,300 gram serta dua bungkus ganja (48.8 g) yang bernilai keseluruhan RM86,390.

“Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta, motosikal serta barang kemas yang bernilai RM49,750. Secara keseluruhan nilai rampas dadah dan harta berjumlah RM136,140.

“Secara amnya, dadah yang dirampas itu boleh digunakan 31,500 penagih,” katanya beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Radzi berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati dua tokan itu aktif dalam pengedaran dadah sejak Jun lalu.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah selain mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 8 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau. – MalaysiaGazette