Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bersama Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) hadir ketika Majlis Simposium Perubahan Iklim 2022 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 05 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan dirinya masih meneliti kerusi-kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu tidak memperincikan kawasan-kawasan yang ditawarkan kepada beliau.

“Saya sedang meneliti kerana rakan-rakan di Port Dickon mohon saya teruskan, Parlimen Tambun kata mereka siap sedia dan beberapa kawasan lain.

“Sebaik saya putuskan saya akan beritahu kamu (wartawan),” katanya dalam sidang media selepas menutup Simposium Perubahan Iklim anjuran pejabatnya di Dewan Banquet Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Anwar berkata, dirinya ditawarkan beberapa kerusi oleh beberapa negeri antaranya Port Dickon dan Parlimen Tambun untuk ditandinginya pada PRU-15 kelak.

Sebelum ini, Ketua PKR Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mohamad mahu memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen itu malah ia telah dipersetujui di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia sekiranya PRU-15 diadakan pada November depan.

“Ia tertakluk kepada bila PRU-15 akan diadakan, dari renungan saya jawab belum pasti tapi dari PKR dan PH kita memang siap untuk menghadapi PRU pada bulan November,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini memenangi kerusi di Parlimen Port Dickon pada Oktober 2018 dengan majoriti 23,560 undi.

Ditanya mengenai respon Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menafikan pihak berkuasa melakukan intimidasi terhadap timbalannya, Rafizi Ramli, Anwar mengucapkan terima kasih.

Malah beliau menggesa agar polis memulangkan kesemua telefon bimbit yang dirampas sejak 2015.

“Saya ucap terima kasih kerana KPN berikan respon, kalau begitu kalau sudah ambil telefon bimbit itu, pulangkan balik.

“Sudah berapa telefon bimbit Rafizi dirampas, keduanya isunya apa. Ia adalah isu rasuah LCS (kapal tempur pesisir), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mesti ambil tindakan dan menyentuh tentang Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Abd Latiff (Ahmad) sepatutnya mereka tanya Latiff,” katanya lagi.

Anwar semalam dalam kenyataan media menggesa Acryl Sani menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan polis merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Dr Abdul Latiff. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast