Polis Koperal yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Trafik Petaling Jaya maut kemalangan selepas berlanggar dengan lori rosak yang diberhentikan tanpa sebarang isyarat atas jalan raya dalam insiden awal pagi tadi. Ihsan IPD Kajang

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat koperal maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori di Batu 10, Hulu Langat berdekatan Taman Langat Ceria, Kajang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.30 pagi.

“Semasa kejadian itu berlaku, mangsa yang berumur 32 tahun sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Dusun Tua ke tempat kerja di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menunggang motosikal.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah melanggar di belakang sebuah lori yang telah rosak yang diberhentikan di bahu jalan berhampiran sebuah stesen bas tanpa mempamerkan sebarang tanda isyarat kerosakan kenderaan itu.

“Mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan paramedik dari Hospital Ampang yang bergegas sejurus panggilan kecemasan diterima,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Zaid, pemandu lori berusia 57 tahun itu telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan keputusan menunjukkan negatif dadah dan alkohol.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar bagaimana kejadian kemalangan telah berlaku, samada terdapat kecuaian daripada pemandu Lori sendiri atau disebabkan unsur lain.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian kemalangan berkenaan diminta agar tampil memberi kerjasama dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915193 bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette