Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mengalami detik cemas selepas diekori dan cuba dipegang oleh seorang suspek lelaki tidak dikenalinya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah flat di Taman Dagang di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek  akhirnya berjaya dijejaki dan diberkas polis tidak sampai beberapa jam selepas kejadian itu.

“Semasa kejadian itu, lebih kurang pukul 3.45 petang,  mangsa  diekori oleh suspek dari kawasan tempat letak kereta sehingga ke tangga blok rumah flat kakaknya.

“Suspek kemudian mengekori rapat mangsa dan cuba memegang mangsa namun mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek berjaya melarikan diri dan menjerit.

“Suspek kemudian bertindak membuat kekacauan di hadapan rumah kakak mangsa sebelum turun ke bawah flat semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa kemudian telah menghubungi tunang kakak dan menceritakan detik cemas yang menimpa dirinya sebelum meminta bantuannya.

Suspek kemudian berjaya ditangkap oleh tunang kakaknya sebelum menghubungi polis dan menyerahkannya kepada polis.

“Pada petang hari kejadian, polis telah membuat tangkapan semula ke atas suspek lelaki tempatan yang diserahkan oleh pengadu di Blok Dahlia, Taman Dagang.

“Semakan lanjut polis mendapati suspek memiliki satu rekod lampau kesalahan jenayah dadah,” ujarnya.

Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 7 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membolehkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette