SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) sedang mempertimbangkan kesan sekiranya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyertai gabungan parti politik itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat PH yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Ia harus melihat kepada satu kerangka besar kepada perjuangan kita untuk melakukan reformasi dalam negara kita.
“PKR dan PH yang mendokong gagasan tersebut harus memikirkan kaedah terbaik dan perkara ini saya percaya akan dibincangkan dengan cara tuntas dan teliti oleh mesyuarat kepimpinan PH yang akan berlangsung berdekatan Hari Malaysia nanti,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor Tahun 2022, di sini, hari ini.
Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).
Amirudin diminta mengulas mengenai penolakan akar umbi parti itu sekiranya MUDA menyertai PH pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, terserah kepada MUDA sama ada mahu menyertai PH atau sebaliknya.
Sementara itu, Amirudin tidak menafikan pandangan akar umbi yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera parti.
“Pandangan akar umbi juga penting sebab mereka yang akan bertugas, bekerja, membantu kempen ketika pilihan raya jika mereka tidak diyakinkan mungkin ia akan memberi kesan.
“Hal ini sedang dipertimbangkan,diteliti. Kita semak baik buruknya,” tambah beliau.
Namun katanya, kerjasama yang yang memberikan impak positif juga perlu dipertimbangkan.
“Saya ambil contoh Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara pembangkang dengan kerajaan mungkin ada pandangan negatif peringkat awal tapi hasilnya baik apabila kita melepasi beberapa tuntutan kita antaranya undang-undang anti lompat parti yang telah dimuktamadkan di Parlimen dan Dewan Negara baru-baru ini,” katanya.
Sebagai rekod, MUDA dan PH pernah bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun berlaku pertembungan kerusi dengan PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin. -MalaysiaGazette