Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (duduk, dua kiri) bersama Pengarah Urusan NUR Power, Ikwan Hafiz Jamaludin (duduk, dua kanan) menangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama dengan saksi dari TNB, Mohamed Azrin b. Mohamed Ali, Ketua Solusi, Bahagian Retail (duduk, paling kiri) dan Pengerusi NUR Power, Datuk Wira Ir. Mohd Sidek Ahmad (duduk, paling kanan). Sesi menandatangani MoU baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan N.U.R Power Sdn. Bhd. (NUR Power) bagi menyediakan solusi tenaga pintar dan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebagai sumber utama elektrik.

Kerjasama berkenaan dijalinkan khusus untuk pelanggan Nur Power di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah serta lain-lain kawasan berlesen di bawahnya.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan Megat berkata, kerjasama itu  satu perkembangan memberangsangkan kepada negara kerana sejajar dengan aspirasi mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau.

“TNB berhasrat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan salah satu inisiatif utama untuk mencapai aspirasi ini adalah melalui membina kerjasama utama dan
memperkukuh perkongsian yang akan membantu kami memacu agenda Peralihan Tenaga dengan lebih jauh lagi.

“Ini adalah selaras dengan agenda kerajaan berhubung kapasiti TBB dan inisiatif hijau sejajar dengan kami menuju ke arah masa depan yang lebih baik dan cerah untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama berkenaan bagi membolehkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung, solar berskala besar serta penyediaan prasarana pengecas kenderaan elektrik dapat diberikan kepada seluruh pelanggan di kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Memandangkan permintaan global untuk tenaga hijau terus berkembang, NUR Power komited untuk melabur dalam mengembangkan tenaga solar bagi meningkatkan bekalan
Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan menuju ke arah pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menarik pelabur asing dan juga domestik,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, TNB memperoleh rakan strategik lain bagi melaksanakan inisiatif TBB bersama dengan NUR Power sebagai pembekal elektrik eksklusif kepada KHTP dan kawasan berlesen lain.

“Para pelanggan di KHTP dapat menikmati kelebihan harga yang kompetitif untuk solusi solar atas bumbung daripada kerjasama antara anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX dan anak syarikat milik NUR Power, JS Solar,” tambahnya.

Untuk rekod, MoU tersebut ditandatangani oleh Megat Jalaluddi dan Pengarah Urusan NUR Power, Ikwan Hafiz Jamaludin baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast