AMPANG – Seorang wanita yang ditahan kerana meninggalkan anaknya yang orang kurang upaya (OKU) dan autisme seorang diri sehingga menyebabkan remaja itu terjun dari apartmen mereka di Taman Melawati direman hari ini.
Suspek seorang warga tempatan berusia 43 tahun dan berpakaian hitam itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majlistret di sini pagi ini dalam keadaan tangan bergari dan diiringi dua anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Wanita itu kemudian dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 September depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja OKU ditinggalkan sendirian terjun dari apartmen
Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek telah ditahan polis petang Ahad lalu bagi membantu siasatan rentetan insiden itu.
Semasa kejadian pada 3 September lalu, mangsa yang merupakan anak kedua wanita berkenaan ditinggalkan seorang diri kerana membawa anak perempuan bongsunya ke latihan berenang dan menginap di sebuah hotel di Damansara.
Kemudiannya, wanita berkenaan menerima panggilan daripada bekas suaminya yang mengatakan anak mereka, seorang remaja berumur 13 tahuntelah terjun dari kediamannya.
“Siasatan awal polis mendapati, mangsa telah terjun dari tingkat satu dan jatuh ke atas kereta yang diparkir di bawah bangunan tersebut dan telah mengalami kecederaan iaitu lima jahitan di bahagian kepala, tangan sebelah kanan, serta kesan retak pada tangan dan muka,” katanya menerusi kenyataan itu.
Tambah beliau, mangsa kini sedang dirawat di wad 5D di Hospital Ampang dan keadaan dilaporkan stabil.- MalaysiaGazette