Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R Ramanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R Ramanan terkejut dan hairan bagaimana Pas masih lagi berminat untuk menang undi bukan Islam dan bukan Bumiputera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) nanti.

”Saya memang tidak faham langsung dengan Presiden Pas ini. Beliau yang mula-mula hina, guris perasaan kemudian anda kata hendak letak calon bukan Islam untuk tarik lebih banyak pengundi bukan Melayu? Mula-mula anda perlu faham, kita semua saling memerlukan.

”Janganlah asyik hendak keluarkan kenyataan-kenyataan retorik untuk kepentingan politik. Hari ini kamu tuduh kita, esok kamu puji kita. Janganlah begitu, sebagai orang yang berpengalaman menerajui sebuah parti Islam, anda perlu tunjuk teladan baik.

”Ramai makan hati dengan Pas apabila anda sudah menyatakan secara terang-terangan bagaimana yang bukan Islam kononnya boleh menjadi perosak ekonomi, terlibat dengan rasuah dan sebagainya ketika menjelangnya sambutan kemerdekaan.

“Kini kamu mahupun undi, kamu hendak tarik penyokong bukan Islam untuk mengundi kamu dan beri kuasa supaya kamu boleh bercakap dengan lebih teruk dan mengguris hati? Sudahlah,” katanya yang mengulas tulisan Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Hapuskan Pemberi Rasuah’.

Ramanan mendakwa tulis itu jelas menyebut golongan pemberi rasuah itu majoriti bukan Bumiputera.

Bagaimanapun ketika Muktamar Pas baru-baru ini pula, Abdul Hadi berkata, parti itu menggunakan pendekatan bijaksana untuk menarik pengundi bukan Islam khususnya mereka yang tidak berparti mengundi calon Islam.

Kata Ramanan lagi, Pas seperti sudah ‘hilang arah’ kerana banyak melontarkan pandangan dan kenyataan yang banyak seperti pusingan ‘U’, selain penuh perkauman.

“Pas tidak sama lagi selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang banyak bertoleransi dan masih menegakkan prinsip Islam tanpa mengurus hati mana-mana kaum. Semua senang dengan beliau.

“Rakyat bukan seperti dulu, kini sudah lebih memahami situasi politik dan tidak akan sesekali membiarkan mereka ditipu atau diperbodohkan lagi.

”Mungkin Abdul Hadi boleh memohon maaf terlebih dahulu dalam isu ini sebelum fikir untuk menarik sokongan yang bukan Islam,” tegasnya. -MalaysiaGazette