Gambar hiasan. Foto Indiatimes.com

BHOPAL – Seorang wanita di Madhya Pradesh cedera parah selepas bertarung dengan seekor harimau untuk menyelamatkan bayinya yang berusia 15 bulan.

Archana Choudhary bergelut dengan harimau itu dengan ‘tangan kosong’ selama beberapa minit sebelum penduduk kampung mendengar jeritannya meminta pertolongan.

Kedua-dua ibu dan anak sedang menerima rawatan di hospital.

Serangan itu berlaku pada hari Ahad di pinggir kawasan Rizab Harimau di Taman Negara Bandhavgarh.

Serangan haiwan terhadap penduduk yang tinggal di sekitar rizab harimau bukan perkara luar biasa.

Penduduk kampung berkata, selain harimau, gajah juga telah memasuki kampung dan merosakkan tanaman mereka.

Di seluruh India, penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran dengan hutan dan taman negara telah menyaksikan peningkatan kes konflik manusia-haiwan.

Pakar berkata, ini kerana pembandaran pesat memusnahkan habitat semula jadi, memaksa haiwan memasuki kampung dan bandar untuk mencari mangsa dan perlindungan.

Dalam serangan terbaharu, wanita itu dan anak kecilnya berada di padang apabila seekor harimau keluar dari semak dan menyerang bayi itu.

The Times of India melaporkan, harimau itu telah membenamkan giginya pada kepala bayi dan cuba menarik kanak-kanak itu apabila ibunya cuba melawan harimau itu.

Jeritannya meminta tolong telah menarik penduduk kampung dari kawasan berhampiran yang sampai ke tempat kejadian dengan kayu dan menghalau harimau itu.

Paru-paru ibu itu dilaporkan cedera dan mengalami luka dalam pada badannya manakala anak lelakinya luka di kepala.

Seorang doktor memberitahu BBC, luka pada badan kanak-kanak itu tidak serius, tetapi luka pada ibunya parah.

Pakar bedah awam Dr Misthi Ruhela di bandar Jabalpur berkata, ibu dan anak itu sedang dirawat di unit rawatan rapi dan telah diberikan suntikan anti-rabies.

Sementara itu, serangan harimau itu telah menimbulkan panik di kalangan penduduk kampung.

Seorang pegawai hutan memberitahu, cabaran terbesar bagi jabatan itu untuk mencari dan menangkap harimau yang sesat masuk ke kampung. – Agensi