Dr. Massila Kamalrudin menerima Anugerah Buku Negara 2022 yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Universiti Putra Malaysia di sini, baru-baru ini.

MELAKA – Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin menerima Anugerah Buku Negara 2022 menerusi karya beliau berjudul ‘Inaugural Lecture Series: Improving Technical Product Quality Through Requirements Engineering’.

Buku terbitan Penerbit UTeM itu dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Perdana (Syarahan Perdana) pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, judul terbitan Penerbit UTeM iaitu ‘Pemerkasaan Aktiviti Pengkomersialan Produk Penyelidikan di Universiti’ karya Prof. Madya Dr. Norain Ismail, Dr. Zawiah Mat dan Prof. Madya Dr. Sazelin Arif turut diangkat sebagai penerima anugerah bagi kategori Pengajian Tinggi (Buku Perniagaan dan Ekonomi Terbaik).

Penglibatan dan komitmen Penerbit UTeM dalam menerbitkan karya-karya ilmiah semenjak tahun 2004 juga mencipta kejayaan yang tersendiri apabila turut menerima anugerah bagi kategori Penerbit Universiti Berpotensi.

Massila mengakui berdepan dengan detik sukar ketika menghasilkan karya tersebut dan menuntut kepada kesungguhan, ketekunan dan kesabaran yang tinggi.

”Nikmat seorang penulis apabila buku yang dihasilkan dijadikan bahan bacaan, bahan rujukan, berupaya menjadi sumber ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Pengarah Penerbit UTeM, Ts. Dr. Ruziah Ali berkata, penerimaan tiga Anugerah Buku Negara itu diharap menjadi suntikan semangat kepada barisan penulis danwarga penerbit untuk terus berusaha menghasilkan naskhah berkualiti pada masa akan datang. – MalaysiaGazette