Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG JAYA – Polis akan menjalankan siasatan terhadap bapa kandung seorang pelakon remaja yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap anaknya selepas menerima laporan daripada mangsa semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam laporan polis itu, mangsa mendakwa dia telah diganggu secara seksual oleh bapanya serta tidak menjaga kebajikan remaja tersebut.

“Mangsa juga mendakwa dia sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapanya. Kejadian itu berlaku sejak dari 2013 sehingga 2017 ketika mangsa berusia enam tahun semasa tinggal di kawasan daerah ini.

“Suspek dikatakan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa semasa ibunya tiada bersamanya di rumah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292  Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan lucah.

Wan Azlan turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616 atau Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78627100 bagi membantu siasatan.

Semalam, bapa kepada pelakon remaja itu juga telah membuat satu laporan polis susulan daripada pendedahan anak perempuannya itu melalui media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, lelaki berkenaan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan anak perempuannya itu di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, kelmarin. – MalaysiaGazette