mangsa banjir
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tidak adil hanya mengaitkan UMNO sahaja dengan korupsi sedangkan ramai dalam kalangan pemimpin parti lain juga terpalit dengan kes rasuah.

Malah terdapat banyak contoh pemimpin-pemimpin parti lain terbabit termasuk ada yang sedang didakwa di mahkamah.

“Persoalannya, apakah adil apabila beberapa pemimpin terpalit maka dihukum seluruh parti?

“Jika itu perkiraannya maka semua parti juga dianggap korup kerana ada pemimpin yang terpalit dengan rasuah,” katanya dalam satu komen di laman Facebooknya.

Asyraf turut menyenaraikan beberapa isu rasuah membabitkan pemimpin parti lain antaranya pemimpin DAP, Lim Guan Eng didakwa kes rasuah banglo tapi ditarik balik oleh Peguam Negara  Tan Sri Tommy Thomas lantikan Pakatan Harapan (PH).

“Ramai lagi pemimpin PH yang ‘disucikan’ oleh Tommy waktu PH  jadi kerajaan 22 bulan.

“Bersatu paling banyak menerima pemimpin yang ‘disucikan’ walaupun sudah dipalitkan dengan jenayah rasuah.

“Terbaru dakwaan saksi dalam mahkamah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tunai jutaan ringgit daripada UKSB.

“Ramai juga yang lompat masuk Bersatu sebab takut didakwa seperti bekas-bekas pemimpin PKR,” katanya.

Asyraf turut menyenaraikan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang walaupun dalam usia muda menjadi menteri namun didakwa rasuah dan salah guna kuasa RM1.2 juta duit parti.

“Ramai pemimpin PKR yang didakwa rasuah tapi terlepas waktu PH naik. Bahkan yang mula hendak didakwa apabila PN memerintah seperti bekas Menteri Datuk Dr Xavier Jayakumar terlepas selepas lompat ke Bersatu.

“Bekas Setiausaha Agung Pas sendiri didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan rasuah,” demikian sebahagian contoh diberikan Asyraf Wajdi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast