KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Sanusi Md Nor mencuri tumpuan di media sosial apabila beliau menyarung jersi bukan pasukan Kedah.
Dalam sebuah rakaman di akaun TikTok rasminya, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dilihat telah menyarung jersi Terengganu FC (TFC)yang berbelang hitam dan putih.
Walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk menyarungnya akibat saiz yang kecil, Sanusi berjaya berbuat demikian lalu mengelap dahinya tanda sukarnya untuk memakai jersi tersebut.
“Kasi panassss,” tulis Sanusi di TikToknya.
Tindakan Sanusi ini menimbulkan spekulasi sama ada beliau secara halus menzahirkan sokongan terhadap Terengganu menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Sabtu ini.
“Sokong TFC ye final nanti,” tulis Samsuri kepada Sanusi.
Sanusi sebelum ini mempunyai pelbagai drama dengan pihak JDT terutamanya Tunku Mahkota Johor (TMJ) apabila saling berbalas hantaran di media sosial. – MalaysiaGazette