Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya mahu Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipenjarakan supaya UMNO boleh dihapus dan terkubur selama-lamanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, Mahathir berharap beliau dapat untung besar apabila Najib dipenjarakan.

Tetapi keadaan berlaku sebaliknya kerana UMNO akan bangkit pada Pilihan Raya Ke-15 nanti.

Dakwanya lagi, walaupun Mahathir masih bernafsu besar apabila berjaya memenjarakan Najib tetapi jiwa dan mental beliau terpenjara selama-lamanya.

”Rupanya dia jadi si luncai yang terjun dengan labu labunya. Parti Pejuang yang akan terkubur terus. Parti Pejuang akan jadi padang jarak padang tekukur.

Di PRN Johor semua calonnya hilang wang pertaruhan. Jentera PACABA pun tidak ada. Itu petanda awal,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang berkata, pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO daripada budaya rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, UMNO yang kini dipimpin oleh Ahmad Zahid bukan lagi seperti parti yang disertainya suatu masa dahulu.

“Betullah apa yang Tun M cakap dalam fb selepas keluar hospital.

”Menyumbat Najib ke dalam penjara tidak membersihkan UMNO dari rasuah,” sindir Mohd Puad sambil menyatakan kenyataan Mahathir itu sekadar retorik dan pertuduhan rasuah dijadikan alat politik.

Tegasnya, UMNO bukan parti rasuah, sebaliknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dakwa Mohd Puad, apabila Mahathir menubuhkan PPBM, ramai katak melompat masuk PPBM.

”Maka PPBM adalah parti rasuah. Dia bapa rasuah kerana buang kes Lim Guan Eng,” tegasnya. – MalaysiaGazette