ALOR GAJAH – Pasangan remaja dipercayai kekasih yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta Perodua Kancil di Lubok China di sini didakwa baharu lapan bulan bercinta.
Rakan remaja tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Damia, 16, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu rakannya itu ditemui mati bersama pasangannya selepas menghantarnya ke Kompleks Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau petang semalam.
“Dia (rakanya) berkenalan dengan kekasihnya melalui aplikasi Instagram sebelum menjalinkan hubunghan cinta selama kira-kira lapan bulan lalu.
“Semalam, arwah ada minta tolong saya menghantarnya ke JAPERUN itu menaiki motosikal untuk bertemu teman lelakinya dan selepas itu, saya terus pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas kakak rakannya itu menelefonnya sekitar jam pukul 8.30 pagi tadi untuk bertanyakan keadaan adiknya kerana tidak pulang ke rumah sejak petang semalam.
“Saya terkejut dan segera keluar mencarinya di JAPERUN berkenaan sebelum ternampak kereta Perodua Kancil dipandu teman lelakinya berada di situ dalam keadaan dilitupi kanvas penutup kereta.
“Apabila saya selak sahaja kanvas itu, saya nampak kedua-dua mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri dan segera memaklumkan perkara itu kepada kakak arwah,” katanya. – MalaysiaGazette