Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran buku biografi The Doctor Will See You Now di SJKT Vivekananda,Brickfields. Foto MUHD NA'IM, 07 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengumuman terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka merupakan perkembangan terbaik.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini menunjukkan situasi negara yang pernah dilanda pandemik Covid-19 kini semakin  bertambah baik.

“Bagi saya keputusan ini baik, walaupun ada pihak tidak setuju tetapi kita tidak boleh paksa kalau sudah situasi bertambah baik. Kita berikan keselesaan cuma berjaga-agalah,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran buku Autobiografi Tan Sri Datuk Dr. Ampikaipakan K.

Walaubagaimanapun, Muhyiddin menyarankan agar rakyat kekal membawa pelitup muka ke mana-mana sahaja terutama ketika kita perlu berada di kawasan yang memerlukan pemakaian pelitup muka.

”Jadi sebaiknya kita bawak sahaja pelitup muka, kalau tidak mahu pakai tidak apa. Kalau nak pakai, pakai, berjaga-jagalah,” tambah beliau.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa KKM.

Meskipun begitu,  pemakaian pelitup muka masih wajib ketika berada di dalam fasiliti hospital dan  pengangkutan awam.

Malah, individu yang bergejala dan positif Covid-19 wajib memakain pelitup muka.

Dalam masa yang sama, mana-mana premis juga berhak untuk mengekalkan pemakaian pelitup muka. – MalaysiaGazette