KUALA LUMPUR – Jika Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan UMNO tetap ‘jahat’ dan perlu ditewaskan, Ahli Parlimen Langkawi itu dicabar bersaing dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu memberi pilihan kepada rakyat dan terus menerus mahu ‘menguburkan’ parti Melayu itu.
“Berilah pilihan kepada rakyat. Itu hak Tun. Sepertimana hak kami untuk menawarkan diri sebagai parti yang menjanjikan kesetiaan dan kestabilan.
“Tak perlulah sampai mengata seolah-olah semua kami yang jadi ahli UMNO ini hodoh, bodoh atau kotor.
“Era “My Way or the Highway” mungkin relevan pada era 1980an dan 1990an. Zaman dah beredar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir dalam kenyataan melihat pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak membersihkan UMNO daripada budaya rasuah.
Menurutnya, UMNO yang kini dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak bersih sewaktu ditubuhkan yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.
Shahril juga melihat kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu
yang mencemuh UMNO adalah mengecewakan tetapi tidak juga mengejutkan.
Malah tegas Shahril, pendedahan Ahmad Zahid bahawa Dr Mahathir pernah memohon UMNO dibubarkan menyerlahkan tahap kebencian beliau bukan lagi terhadap mana-mana individu dalam UMNO, bahkan parti itu sendiri.
“Ini bukan lagi tentang mana-mana presiden atau bekas presiden atau mana-mana pemimpin UMNO.
“Sedangkan waktu Tun berkuasa dan UMNO masih belum bangkit pada awal era Pakatan Harapan (PH), Tun masih hendak usahakan agar UMNO itu hapus.
“Tetapi hasrat itu tak kesampaian kerana istiqamah pemimpin dan ahli,” katanya.
Katanya lagi, walaupun Dr Mahathir antara Perdana Menteri paling meninggalkan kesan kepada Malaysia, namun ia tidak bermakna beliau boleh cuba bubar kemudian mencemuh UMNO sesedap rasa tanpa balasan.
“Saya faham Tun terkenal dengan lidah tajamnya baik di pentas tempatan atau antarabangsa.
“Selepas ini simpanlah sedikit kekasaran itu supaya tidak ditujukan sepenuhnya kepada institusi yang mana Tun pernah menjadi pemimpin dan ahlinya walaupun keluar masuk keluar masuk.
“Mungkin di sebalik kejayaan hidup Tun, ada juga saham dari institusi ini yang menyumbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette