Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 SEPTEMBER 2022.

CITA-CITA Pas terlalu besar. Mahu menjadi king maker untuk menentukan parti mana yang boleh mereka naikkan sebagai Kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika Muktamar Tahunan ke-68 baru-baru ini, tanpa berselindung pemimpin parti itu menyasarkan untuk menang 40 kerusi Parlimen bagi menjayakan cita-cita menjadi king maker.

Dalam menjayakan matlamatnya, parti itu dalam muktamarnya menghulurkan tangan mahu kerjasama dengan UMNO, sebuah parti yang begitu benci terhadap Bersatu yang menjadi rakan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui oleh media semasa muktamar berlangsung minggu lalu mengesahkan wujud perbincangan bersama membabitkan pemimpin tertentu di dalam Pas dan UMNO berhubung strategi bagi menghadapi PRU-15.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika bercakappada sidang media selepas selesai Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman Pokok ketika menghadiri ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

Beliau yang mempertahankan kenyataan yang dibuat Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu, perbincangan itu berada di peringkat tertentu dan tidak perlu didedahkan.

“Saya rasa Timbalan Presiden UMNO mengakui (pada) suatu masa dulu, apabila ada pandangan daripada pimpinan Pas bahawa ada kerusi-kerusi tertentu boleh dibincang, kerusi yang mungkin dimenangi pihak ketiga, Pas dengan UMNO boleh berbincang untuk berunding, mungkin tidak berlaku pertembungan yang (akan) sebabkan pihak ketiga menang.

“Itu (telah) diakui oleh Timbalan Presiden UMNO sendiri, jadi itulah perbincangannya. Politik ini tidak semestinya terus berada di meja perundingan secara rasmi sahaja, secara tidak rasmi pun boleh,” ujarnya.

Keputusan Pas mahu melibatkan UMNO untuk menang PRU15 nampaknya tidak disenangi oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PN malam tadi, Muhyiddin dilaporkan berkata, dia menuntut penjelasan daripada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Takiyuddin.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 OGOS 2022.

Muhyiddin yang juga pengerusi gabungan itu berkata, keputusan muktamar parti Pas berhubung kerjasama dengan UMNO akan memberi kesan yang buruk kepada PN.

“Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah gabungan yang mempunyai pelbagai pendirian, tentulah tidak baik untuk masa depan PN,” katanya.

Kenyataan Muhyiddin tamparan kepada Pas

Jika Muhyiddin selesa dengan permainan Pas untuk bersama UMNO sedangkan Pas masih terikat dengan Bersatu dalam PN, tentunya dia berdiam diri.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin merupakan satu tamparan kepada Pas sekaligus menyedarkan parti itu bahawa mereka tidak boleh mempermaikan Bersatu.

Prof Madya Dr. Salawati Mat Basir

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, langkah yang dibuat oleh Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO tanpa memahami perasaan pemimpin komponen PN terutama Bersatu merupakan satu langkah politik yang tidak beretika.

“Dari segi etika politik tidak boleh berbuat demikian. Kerana kita telah berjanji dengan pihak A kenapa nak masukkan pihak B tanpa diketahui oleh pihak yang kita telah buat perjanjian?

“Memang tak baik, sebab janji dia bukan begitu. Janji takkan masukkan UMNO kenapa tiba-tiba nak libatkan UMNO? Macam mungkir janji!

“Kalau tengok sekarang orang UMNO tak terhegeh-hegeh dengan Pas sebenarnya. Dia orang tak mahu. Kenapa Pas bersungguh-sunggu? Atas dasar apa?” tanya Salawati kepada MalaysiaGazette.

Beliau tidak menolak kemungkinan strategi yang diambil oleh Pas untuk bekerjasama dengan UMNO kerana mengetahui peluang parti itu untuk menang lebih cerah berbanding jika hanya dengan Bersatu.

Tambah Salawati, tindakan Pas juga semata-mata mahu memastikan parti itu terus berada dalam arus perdana politik.

“Pas tahu dia tidak boleh membuat kerja dan saya nampak parti ini cuba berada di mana-mana. Parti itu dapat melihat bagaimana rakyat memberi tumpuan pada UMNO antaranya berikutan pemimpin yang terlibat dengan kes yang besar dan ramai yang bersimpati terhadap UMNO.

“Pada Pas dia tetap mahu bekerjasama dengan UMNO sedangkan dia bersama dengan Bersatu. Dekat mana dia nak masukkan UMNO tu? Sebab UMNO dan Bersatu tak akan bersama.

“Di sini saya rasa Pas mahu pastikan dia berada dalam mana-mana kem untuk mengambil peluang. Pada saya jelas Pas nak makan kiri dan kanan. Tak boleh banyak sangat bantal,” kata Salawati memberi ingatan.

Katanya, Pas perlu kembali semula kepada janji yang parti itu buat bersama-sama dengan Bersatu dan PN.

Pas seharusnya memdedahkan perancangannya untuk melibatkan UMNO kepada pemimpin parti lain dalam PN. Kalau tak dipersetujui Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.

Bersatu tiada hak halang Pas

Seorang lagi pengalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan, Bersatu tidak mempunyai hak untuk menghalang Pas daripada bekerjasama dengan UMNO.

Profesor Madya Mohd Izani Mohd Zain. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2018.

Menurut Mohd. Izani daripada segi kekuatan Pas yang mempunyai ahli akar umbi lebih kukuh berbanding Bersatu.

“Kekuatan PN bagi saya bergantung kepada Pas bukan Bersatu. Pas parti lebih lama dan berpengalaman dan dari segi jumlah kerusi yang dimenangi memang Pas sangat jauh meninggalkan Bersatu.

“Bersatu ini kuat kerana kemasukan wakil rakyat daripada UMNO dan PKR. Bagi saya Bersatu memerlukan Pas.

“Bersatu tak boleh halang Pas untuk bekerjasama dengan siapa pun. Kalau Pas nak bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu tidak merestui itu masalah Bersatu,” katanya.

Tambah beliau, Pas telah bekerjasama dengan UMNO lebih awal dalam Muafakat Nasional. Hanya selepas penubuhan PN Pas mula bekerjasama dengan Bersatu.

Pas juga bukan sebuah parti yang mengongkong diri sendiri untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Katanya, semasa dalam MN dan ketika bekerjasama dengan UMNO, Pas terbuka bekerjasama dengan parti lain.

Beliau tidak menolak kemungkinan Pas mungkin akan keluar daripada PN jika terus diasak oleh Bersatu.

“Pas cuba bekerjasama dengan semua pihak dan Bersatu perlu tolerasi dengan pendirian Pas.

“Kerana kalau Bersatu berkeras dengan Pas kemungkinan Pas boleh membuat keputusan keluar daripada PN dan bergerak solo seperti PRU-13.

“Bersatu kena menghormati Pas sepertimana Pas menghormati pandangan Bersatu yang mahu bekerjasama dengan PH,” jelas Mohd. Izani.

Cita-cita Pas untuk menjadi king maker kini jelas dibayangi oleh tindakan yang bakal diambil oleh Bersatu.

Jika Bersatu menghalang ‘pelukan mesra Pas-UMNO, kemungkinan hasrat Pas untuk menjadi king maker tidak akan kesampaian. – MalaysiaGazette