ROMPIN – Warga emas berusia 75 tahun menjadi peserta tertua yang mengambil bahagian dalam temasya kanu laut sempena Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia (POPIC 2022) di Pantai Hiburan di sini semalam.
Meskipun mencatatkan rekod terakhir dalam kategori terbuka perseorangan antarabangsa lelaki, Muhamad @ Mansor Othman berjaya melakukan kayuhan dengan rekod 01:58:09.67 yang menjadi pencapaian terbaiknya.
Menyarungkan bib bernombor 1019, beliau yang berpengalaman 36 tahun dalam sukan kayuhan merupakan antara 33 peserta lain dalam kategori solo.
Beliau yang mesra disapa Pak Mansor dilahirkan pada 14 Januari 1947 telah memulakan latihan di pantai ini bagi mengekalkan momentum serta stamina.
Pernah menempa nama dalam Malaysian Book of Records pada tahun 2017 pada usia 71 tahun, Pak Mansor menggunakan pengalaman sedia ada untuk menghabiskan kayuhan sepanjang 12 kilometer.
“Pengalaman tahun 2017 pernah sertai kategori Solo Ekspedidsi Ekpresi Negaraku selama 60 hari kayuhan bermula dari Pengkalan Kubur sehingga ke Kuala Perlis, sejauh 1,800 kilometer.
“Selalu buat latihan berkayuh dari hulu sungai sehingga ke kuala sungai di sekitar Terengganu .
“Alhamdulillah, banyak dapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan menyokong Persatuan kayak Terengganu yang terdiri daripada beliawaanis dan anak muda,” kataya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Difahamkan POPIC 2022 disiarkan menerusi saluran media sosial ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 kepada peserta.
POPIC 2022 akan berlangsung selama lima hari dengan lima peringkat yang bermula di Pantai Hiburan Rompin dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan pada 11 September.
Manakala tiga pantai lain turut terlibat Pantai Lagenda di Pekan, Pantai Cherating dan Pantai Balok di Kuantan.
Kejohanan yang disertai 238 peserta ini melibatkan laluan sejauh 79.36 kilometer
Perlumbaan pertama kali dianjurkan di negara ini berjaya menarik perhatian jaguh-jaguh kanu dari Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat, Iran, Taiwan, Thailand, Indonesia. – MalaysiaGazette