Mahathir Mohamad Hakim
Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Penuntut Melayu tidak perlu rasa bersalah berikutan ramai daripada kalangan Melayu menerima biasiswa di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemberian biasiswa telah merapatkan jurang pendidikan antara Melayu dan bukan Melayu.

“Penuntut Melayu tidak perlu serba salah kerana ramainya penuntut Melayu yang dapat biasiswa.

“Jika kita tidak mahu melihat jarak antara Melayu yang berpelajaran dan bukan Melayu, caranya ialah dengan memberi lebih banyak biasiswa kepada penuntut Melayu,” kata  Mahathir.

Beliau berkata, perasaan serba salah dirasai oleh penuntut Melayu selepas ditanya oleh bukan Melayu mengenai ketidakadilan DEB terhadap mereka.

Mahathir berkata, biasiswa antara dasar dalam DEB. Dasar itu telah memberikan agihan biasiswa yang lebih kepada orang Melayu.

Beliau menegaskan sejarah singkat negara perlu menjadi rujukan untuk menentukan sama ada dasar pemberian biasiswa lebih kepada penuntut Melayu adalah adil atau tidak.

“Hakikatnya ialah tanpa biasiswa pun penuntut bukan Melayu lebih ramai dalam universiti swasta tempatan dan universiti di luar negeri. Ini disebabkan ramai bukan Melayu mampu hantar anak mereka ke universiti.

“Hanya dalam universiti tempatan milik Kerajaan sahaja yang penuntut Melayu melebihi penuntut bukan Melayu. Hampir semua dari mereka dapat ke universiti kerana diberi biasiswa. Jika tidak jumlah mereka akan amat berkurangan,” jelas Mahatahir.

Tambah beliau, kebanyakan ibu bapa penuntut Melayu bekerja dan menerima gaji, disebabkan itu pendapatan mereka tidak cukup untuk membayar yuran universiti yang amat tinggi.

Hanya segelintir  orang Melayu sahaja yang mendapat gaji yang cukup dan mampu untuk hantar satu atau dua anak ke universiti.

“Jika hari ini terdapat ramai juga ahli professional Melayu, sebabnya ialah kerana mereka mendapat biasiswa atau pinjaman.

“Dasar Ekonomi Baru hanya berjaya dalam bidang pelajaran. Dalam bidang ekonomi pencapaian orang Melayu tidak seperti dirancang. Hakikat ini perlu diterima oleh semua pihak,” kata Dr. Mahathir.

DEB merupakan satu program sosioekonomi dan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1990) oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 1970 tidak lama selepas tragedi perkauman Mei 1969 berlaku.

Dasar tersebut bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat di dalam konteks keselamatan negara yang kukuh. – MalaysiaGazette