Mohd Adib Kamaruzrizan di podium tempat pertama apabila menjuarai perlumbaan Peringkat 3 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Balok, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pendayung Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan kini ‘sebelah kaki’ untuk ditabalkan juara keseluruhan kategori kebangsaan TK1 lelaki apabila menjuarai perlumbaan Peringkat 3 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Balok di sini hari ini.

Adib merekodkan catatan masa satu jam 19 minit 21.95 saat untuk sekali lagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya – Daing Sulaiman Daing Suhaimi (1:19:57.33s) dan Freddy Anggang (1:21:09.43s) dalam perlumbaan sejauh 13 kilometer.

Terdahulu Adib konsisten menjuarai kejohanan itu semasa Peringkat 1 pada Rabu di Pantai Hiburan manakala peringkat dua di Pantai Lagenda semalam.

“Sebelum kejohanan ini bermula, saya sedar Daing dan Freedy akan menjadi antara pencabar utama saya. Freddy boleh dianggap legenda dalam sukan kanu kerana beliau berpengalaman luas tetapi saya dan Daing masih baharu.

“Jadi untuk baki dua peringkat lagi, saya cuba mengekalkan momentum dan kalau boleh terus menjarakkan catatan masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Adib, beliau akan  berusaha namun berserah jika ada rezeki muncul juara keseluruhan pada temasya kali ini.

Sementara itu, gandingan Pahang, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta turut mengekalkan status pendahulu kategori TK2 lelaki.

Azfaruddin-Imam Sujadi dicabar hebat satu lagi wakil Pahang, David Bong Xia Shing-Aderian Adek dan duo Terengganu, Muhammad Adhwa Danish-Muhammad Mustaqim.

Kejohanan kanu antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Pahang akan diteruskan pada Peringkat 4 di Pantai Cherating, Kuantan pada esok sebelum melabuhkan tirainya pada Peringkat 5 di Pantai Teluk Cempedak pada Ahad ini. – MalaysiaGazette