Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Selangor, ACP Azman Ali berucap pada forum Anti Scam "Jangan Jadi Mangsa Scam" di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Bandar Utama Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.

PETALING JAYA – Polis telah menerima sebanyak 2,612 laporan kes penipuan dalam talian yang dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor (JSJK), Asisten Komisioner Azman Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,011 kes atau 76.9 peratus membabitkan Macau Scam dan Love Scam Parcel.

Jumlah keseluruhan kerugian sepanjang tempoh itu  mencecah lebih RM92.877 juta, katanya.

“Kalau ragut atau jenayah biasa kita boleh hantar peronda polis dan penjenayah akan takut untuk melakukannya tetapi cara paling berkesan untuk menghindari menjadi mangsa scammer  adalah tahap kepekaan manusia terhadap trend terkini scammer tersebut elak terumban dalam ‘gaung’.

“Penipuan ini terbahagi kepada dua iaitu secara bersemuka dan dan penipuan dalam talian yang mana cara bersemuka penjenayah tmudah dikenal pasti tetapi trend sekarang  berubah dengan perkembangan teknologi membabitkan penipuan dalam talian sekali gus menyukarkan tindakan diambil kerana suspek tidak dikenali,” katanya dalam Forum Kesedaran Anti Scam Jangan Jadi Mangsa Scam di sini hari ini.

Majlis telah dihadiri dan disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaludin.

ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berbincang sesuatu bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Selangor, ACP Azman Ali selepas forum Anti Scam “Jangan Jadi Mangsa Scam” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Bandar Utama Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, selain penipuan menerusi telefon seperti Macau Scam, penjenayah terbabit akan menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan maklumat perbankan daripada mangsa.

Lebih merumitkan keadaan apabila mangsa sendiri lambat menyedari wang mereka telah lesap.

Ujar Azman, trend terbaharu yang dikesan melalui cara mereka memberi pautan (link) kepada mangsa dan menyuruh mereka menekannya serta mengisi maklumat peribadi.

“Kadang-kadang dia bagi link kononnya Bank Negara Malaysia tetapi sebenarnya tanpa kita sedari kita telah masuk ke pautan scammer,” katanya.

Jelasnya, sindiket penipuan terbabit akan menggunakan nombor telefon yang didaftarkan menggunakan pasport yang diperoleh secara haram dan akaun keldai yang dibeli dengan tawaran RM500 seorang kepada pemilik asal akaun itu bagi tujuan untuk memindahkan wang haram.

“Wang yang dimasukkan ke dalam akaun keldai terbabit akan dipindahkan ke beberapa akaun keldai lain sebelum dikeluarkan dalam tempoh yang singkat menjadikannya sukar untuk dijejaki.

“Sindiket ini memang bijak mereka sudah kaji cara untuk elak ditangkap polis. Mereka gunakan nombor telefon didaftarkan ke atas warga asing di negara lain dan guna akaun keldai yang mereka dapatkan dari media sosial.

“Bila jadi macam ini, kita siasat dan tangkap pemilik akaun semua cakap tak kenal siapa. Semua cakap mereka berhubung melalui Facebook sahaja sedangkan mereka memberikan akaun bank mereka kepada sindiket berkenaan dan bagi tahun ini sahaja kita telah berjaya tangkap lebih 2,000 ‘keldai’ ini dan semuanya beri alasan sama,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bercakap kepada media selepas forum Anti Scam “Jangan Jadi Mangsa Scam” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Bandar Utama Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.Dalam pada itu Mohamad Fakhrudin pula menjelaskan, sejak Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 435 kes membabitkan kes penipuan atau scam online dilaporkan di daerah tersebut.

“Sepanjang tempoh itu, kita berjaya menahan seramai 387 orang individu yang disyaki berkait penipuan dalam talian dan sebanyak 224 kes pula berjaya dituduh di mahkamah.

“Untuk kes tertinggi melibatkan scam telefon atau penyemaran melalui telefon yang mana sebanyak 150 kes diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak lebih RM9 juta ringgit di dalam Petaling Jaya sahaja.

“Mereka yang dikesan menjadi keldai akaun ini akan dijejaki dan ditangkap serta dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sekiranya mereka dikesan memberikan butiran akaun bank mereka kepada scam online juga satu kesalahan jenayah di bawah Akta Komputer,” tegasnya. – MalaysiaGazette