nasrudin hassan syariat Pas kafir
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Tindakan DAP mengungkit semula isu dana RM90 juta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Pas membuktikan parti itu ‘bankrap’ isu yang boleh dimanipulasikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pada 24 Februari 2019, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull sudah menegaskan tiada sebarang transaksi bernilai RM90 juta dari dana 1MDB ke akaun Pas.

Lebih jelas, menurut beliau, sepanjang tempoh 22 bulan DAP berada di takhta pemerintahan negara bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14, mereka gagal mensabitkan sebarang kesalahan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Ternyata DAP sangat terdesak untuk bersaing dengan Pas di pasaran integriti apabila mereka terpaksa membongkar isu-isu lapuk bagi cubaan untuk menjatuhkan reputasi Presiden Pas dan merosakkan prestasi kepimpinan Pas.

“DAP bimbang mereka tidak berupaya memenangi sokongan rakyat dalam pilihan raya saat berdepan dengan tahap kepercayaan rakyat yang tinggi terhadap integriti Pas dan kepimpinannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendakwa Pas telah gagal menjelaskan dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

Nasrudin turut mempersoalkan motif DAP membangkitkan semula isu-isu lama dan basi termasuk dakwaan Pas menerima dana RM90 juta walhal ia telah dinafikan oleh Mohd. Shukri.

Beliau menambah, sepatutnya DAP terlebih dahulu berusaha membawa pemimpin mereka ke mahkamah bagi menjalani proses perbicaraan yang adil atas tuduhan rasuah yang ada bagi memulihkan reputasi parti itu.

“Bukan meredai pembebasan pemimpin mereka melalui proses ‘buang kes’, ” jelasnya. – MalaysiaGazette