KUALA LUMPUR – Misi merangkul Piala FA sudah selesai dan Hector Pablo Bidoglo kini menganyam impian untuk menjulang Piala Liga Super dan Piala Malaysia pula.
Ketua Jurulatih JDT FC itu berkata, misi itu akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin bagi membolehkan pasukannya mencapai trebel dengan rekod ‘invisible‘ (rekod tanpa kalah) memandangkan pasukan itu sudah mengungguli carta Liga Super buat masa ini.
Meskipun begitu, beliau tidak mahu meletakkan harapan yang terlampau tinggi namun optimis mampu dicapai dengan usaha keras dan kerjasama pasukan.
“Namun ia akan menjadi pencapaian terindah jika mampu (treble dan invisible),” kata Hector yang baru dua bulan menggalas tanggungjawab Ketua Jurulatih daripada Benjamin Moura.
Dalam sidang media selepas JDT FC menjulang Piala FA malam tadi, Hector berkata, beliau terharu dengan semangat juang tinggi anak buahnya sehingga melayakkan pasukan Harimau Selatan itu menggenggam Piala FA Malaysia 2022 selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium National Bukit Jalil.
Mengulas kejayaan malam tadi, Hector berkata, walaupun JDT FC satu pasukan besar dalam liga domestik tetapi sokongan TMJ dan semua penyokong Southern Tigers membantu kejayaan malam ini.
“Kami sudah cukup bersedia untuk berdepan TFC dan seperti dijangkakan, aksi berintensiti, high pressing penguasaan bola sepanjang 90 minit permainan semuanya menjadi terbaik…saya bangga dan puas hati dengan pencapaian ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di stadium malam tadi.
Ditanya justifikasinya memilih Mohd Farizal Marlias sebagai penjaga gol malam tadi, Hector dengan tenang berkata, beliau menaruh kepercayaan terhadap pemain itu walaupun dia terlepas dua aksi terakhir.
“Memang dia terlepas dua aksi terakhir sebelum ke final malam ini tapi dia (Farizal) sudah biasa beraksi dalam permainan sebelum ini, jadi saya beri dia peluang.
“Yang menariknya, dia membuktikan kepada semua penyokong dia boleh lakukan pada final yang anda saksikan tadi,” katanya.
Di sebalik gelaran pertama itu, Hector mengakui cabaran besar sebenar yang sedang menantinya selepas ini adalah untuk mempersiapkan pasukan tersebut dengan taktik dan corak permainan mengikut acuan sendiri bagi persiapan menghadapi kejohanan lain di peringkat liga domestik dan antarabangsa. – MalaysiaGazette