Fadillah (tengah) menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya yang melalui laluan di Permatang Pak Elong, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Keselamatan pengguna serta penambahbaikan jalan akan menjadi fokus Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam penyediaan Bajet 2023.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya sudah mengadakan sesi mengenai Bajet 2023 yang dikendalikan Kementerian Kewangan sendiri yang memfokuskan kemudahan serta kesejahteraan buat rakyat.

Jelas beliau, berdasarkan sesi tersebut pihaknya akan memberi keutamaan dalam penambahbaikan jalan yang menumpukan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya khususnya.

Fadillah (kanan).

“Ia termasuk dalam konteks menggunakan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) di jalan yang dikatakan lebih menjimatkan.

“Kita juga akan mewujudkan sistem lampu isyarat pintar yang mana sekiranya ia ditambah naik bukan saja memberikan keselesaan malah akan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Pemasangan sistem lampu isyarat pintar ini kita rasa lebih efisien. Contohnya apabila terdapat kesesakan lalu lintas, sistem berkenaan akan memberikan masa yang lebih lama kepada lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek pelebaran jalan dua lorong kepada empat lorong bermula di Permatang Pak Elong hingga Jambatan Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKR Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Fadillah menunjukkan pelebaran jalan tersebut yang memberikan manfaat kepada penduduk Pulau Pinang dan Kedah.

Projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan 1 dengan nilai sebanyak RM340,390 kepada Kementerian Kerja Raya selaku Kementerian Pelanggan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Agensi Pelaksana.

Pada majlis itu, Fadillah berkata, pelaksanaan projek ini  meningkatkan taraf perkhidmatan jalan daripada Level of Service (LOS) F kepada LOS C sekali gus mengurangkan kesesakan serta turut mengurangkan tempoh perjalanan pengguna.

“Selain itu, dengan pelebaran jalan ini juga dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat disamping menyusun semula pembangunan di tepi jalan sedia ada.

“Penyiapan projek ini telah memberi jaringan prasarana jalan raya yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik dari Pulau Pinang dan Kedah,” ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada KKR membuat permintaan khas bagi Sabah Sarawak dalam bajet 2023, Fadillah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan untuk meneruskan projek Pan Borneo sebelum ini.

“Lebuh Raya Trans Borneo yang merupakan sistem rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) dan Brunei turut tersenarai.

“Selain itu, dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut diumumkan mengenai pembangunan sempadan antara Sabah, Sarawak serta Kalimantan. Malah, ia termasuk sempadan utara dengan Thailand,” kata beliau. – MalaysiaGazette