Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima resolusi parti daripada Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran pada Perhimpunan Agung Tahunan kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakti Malaysia yang menjadi rakan kepada Barisan Nasional (BN) mahu bertanding di bawah bendera parti komponen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Parti itu juga mahu jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberikan kepada anggota mereka sekirannya BN menang.

Perkara tersebut terkandung dalam tiga resolusi sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-14 Makal Sakti yang dirasmikan oleh Pengerusi BN Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Sebagai parti yang setia kepada BN ketika senang dan sukar, Makkal Sakti dalam resolusi pertama mahu BN menerima mereka sebagai sebuah parti komponen.

Dalam resolusi kedua Makkal Sakti menyatakan parti itu mahu bertanding di tiga kawasan Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Muka-muka baharu yang diketengahkan oleh Parti Makkal adalah mereka yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi serta nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN.

“Calon-calon yang dikemukakan ini juga adalah mereka yang bersemangat kental, darah muda dan telah bersama dengan Parti Makkal Sakti dan Barisan Nasional walaupun telah dilabel pembangkang sejak era Pakatan Harapan memegang tampuk kepimpinan,” katanya.

Dalam resolusi ketiga, Makkal Sakti sebagai penyokong tegar BN mahu supaya jawatan GLC turut diberikan kepada parti itu.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diiringi Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran serta yang lain bergambar kenangan bersama perwakilan-perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

Menurutnya, parti yang ditubuhkan selama 14 tahun itu selama ini tidak pernah meminta atau menjawat sebarang jawatan yang dikhaskan dalam GLC seperti yang dinikmati oleh parti komponen BN yang lain.

“Namun mengikut peredaran masa dan juga bagi mengukuhkan kedudukan Parti Makkal Sakti Malaysia sebagai penyokong tegar BN,  sudah sampai masanya parti Makkal Sakti Malaysia diberikan jawatan utama GLC dan jawatan utama kerajaan negeri dan daerah seperti Ahli Majlis Daerah dan jawatan lain sebagai balasan kesetiaan.

“Ini juga secara tidak langsung akan membantu Parti Makkal Sakti memperkuatkan kerangka pentabiran menuju alaf dan strategi baharu menjadi sebuah parti politik yang berupaya untuk mendokong inspirasi BN dalam pembinaan negara dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.

Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S. Thanenthiran menyerahkan resolusi tersebut kepada Ahmad Zahid.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast