Reaksi kecewa pemain Terengganu FC selepas tewas kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berkesudahan 3-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – ” Dia tidak boleh terlalu kecewa kerana semua orang buat kesilapan, saya buat kesilapan dan begitu juga pemain lain.

“Tetapi selepas melakukan kesilapan, apa yang penting bagaimana untuk bangkit kerana dari situlah kita akan lebih matang selepas belajar daripada pengalaman,” demikian nasihat pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite kepada penjaga gol, Rahadiazli
Rahalim.

Tambah Diakite, apa yang terjadi pada situasi gol ketiga JDT sememangnya memeritkan untuk diterima Rahadiazli namun mengingatkan kepada semua peminat, dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

Baginya, menang atau kalah adalah adat pertandingan dan semua pemain Terengganu akan terus memandang ke hadapan serta berikan tumpuan kepada pertandingan seterusnya seperti memburu posisi yang lebih baik di Liga Super.

“Sebelum ke sini, dia (Rahadiazli) telah melakukan tugasan yang baik semasa di separuh akhir dan jangan lupa tentang perkara berkenaan.

“Dia masih berusia 20 tahun dan banyak lagi boleh dipelajari, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan kerana kami menang sebagai satu pasukan dan kalah sebagai satu pasukan.

” Apa-apa pun, ini pengalaman yang sangat berguna kepada kami malah ini adalah final pertama saya dan rasa sangat bertuah dapat melakukannya pada tahun pertama bersama Terengganu,” katanya.

Dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, selepas Tchetche Kipre merapatkan jurang pada minit 76, kesilapan Rahadiazli yang keluar terlalu awal membuka ruang kepada Bergson Da Silva meraih gol ketiga pada minit 78.

Jaringan itu nyata merentap semangat perjuangan Terengganu yang dalam misi memburu gol penyamaan bagi menghidupkan sisa-sisa peluang mengheret permainan ke masa tambahan.

Sementara itu, penyerang Terengganu, Tchetche Kipre, akui sentuhan penyudah JDT lebih baik pada perlawanan akhir dan mereka berhak dinobatkan selaku juara.

Penyerang yang berasal dari Ivory Coast itu juga tidak menafikan sedikit kesal kerana gagal menyambar peluang keemasan pada minit 25 yang boleh mengubah corak perlawanan.

“Sememangnya sangat sedih kerana apabila sampai ke peringkat akhir, kami main untuk menang dan bila gagal lakukannya, tiada apa yang boleh diperkatakan serta harus salahkan diri sendiri.

” JDT bermain sangat baik dan mereka manfaatkan peluang dan kami tidak, bagi saya mereka lebih laparkan kejayaan daripada kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast