KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan perbincangan secara teliti berhubung implikasi mengenai parti-parti yang mahu bekerjasama dengan gabungan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengambil pandangan semua pihak dalam gabungan tersebut walaupun ada alasan-alasan diberikan untuk parti seperti MUDA menyertai PH.
“Sesiapa juga yang bersama dengan PH, dia kena ada prinsip utama yang diterima. Dia ada perimeter harus diterima pakai. Tetapi kita harus beri ruang untuk bincang dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi Townhall, Pentas Interaksi Anak Muda Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan anggota pemuda PKR yang tidak berminat untuk bekerjasama dengan parti MUDA pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) akan datang.
Menerusi laporan itu mereka memberitahu, tindakan MUDA menentang PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini masih memberi kesan, lebih-lebih lagi apabila parti itu bertanding di DUN Larkin sehingga PKR kalah di situ.
Dalam pada itu, mengulas agihan kerusi dalam kalangan parti-parti PH pada PRU15 nanti, Anwar berkata, secara tradisinya ia akan diberikan kepada parti yang menang.
Jawapan itu diberikan ketika menjawab soalan sama ada agihan kerusi akan dikekalkan kepada parti dalam gabungan yang menang di kawasan ditandingi atau menyerahkan kepada rakan gabungan lain dalam parti.
“Seperti yang dijelaskan, rundingan sekarang di antara PH. Dah ada beberapa kemajuan di beberapa negeri di kerusi Parlimen dan akan diumumkan dalam masa yang singkat.
“Kemudian kalau ada beberapa rundingan lain kalau dipersetujui nanti tentunya ada ruang untuk bincang.
“…tetapi selalunya kalau dalam PH itu kerusi-kerusi yang dimenangi atas nama parti pada tahun 2018 kekal dalam kalangan parti masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette