KUALA LUMPUR – Doa dan hantaran dalam setiap hantaran di Facebook, Twitter cukup bermakna membantu Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran dan keadilan.
Anak Najib, Nooryana Najwa berkata, ada yang menghubunginya dan melahirkan kegusaran kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa bagi membantu Najib yang kini dihukum penjara 12 tahun.
“Ada yang beritahu saya, Yana saya berasa sangat tidak berupaya. Saya tidak tahu bagaimana untuk menolong Bossku.
“Tidak, itu tidak benar. Sebab setiap perbualan dengan rakan, setiap hantaran di Facebook, setiap mesej WhatApps malah doa, semua ini bermakna,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia hari ini.
Turut hadir abangnya Datuk Mohd Nizar, Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Makkal Sakti R. S. Thanenthiran.
Dalam ucapan kira-kira 15 minit itu, Nooryana Najwa berkata, kehidupan Najib kini seperti kata-kata yang dilemparkan oleh pelakon terkenal Tamil Rajinikan ‘Yen valli tali valli yang bermaksud “Jalan saya adalah yang paling kurang dilalui’.
”Saya tahu daddy akan lakukan apa sahaja yang mungkin untuk berada di sini untuk bersama anda. Tapi sekarang daddy sendirian di penjara. Kita di sini, dia di sana, seorang diri. Terpaksa belajar hidup tanpa rakyat di keliling. Perlu mencari kawan baru itu pun kalau ada yang sudi.
“Pada saat terakhir sebelum dia diambil, daddy berbisik kepada saya, ‘sebagai seorang ahli politik saya rasa saya perlu mengalami semuanya dari White House ke Buckingham Palace dan sekarang penjara.
“Seperti yang Rajinikan kata, yen valli tali valli, my way is a road less travelled,” kata Nooryana Najwa.
Nooryana berkata, individu yang begitu terasa kehilangan Najib adalah anaknya, Adam.
Adam, katanya, sering bertanya keberadaan datuknya.
Dia dan ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor sudah kehabisan ‘cerita’ untuk diberitahu kepada Adam mengenai datuknya.
“Tuhan sahaja yang tahu betapa pedihnya hati ini hendak beritahu Adam apa yang terjadi.
“Mummy dan saya sudah tidak tahu hendak cerita apa lagi yang boleh bila Adam tanya di mana datuknya” katanya.
Dalam menempuh saat-saat sukar ini kerana keluarganya difitnah,namun Nooryana berterima kasih kerana masih ada lagi yang menunjukkan semangat setia kawan. – MalaysiaGazette