Litar pintas dipercayai punca kebakaran bengkel kenderaan di Pejabat Kejuruteraan IPK Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Tiada unsur khianat dikenal pasti dalam insiden kebakaran bengkel kenderaan di Pejabat Kejuruteraan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, kejadian itu dipercayai akibat litar pintas

“Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah mendapati kejadian itu akibat lintar pintas namun pihak mereka masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kebakaran tercetus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala kereta serta motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang musnah dalam kejadian itu berada di bengkel untuk diselenggara dan dibaiki.

“Terima kasih kepada pihak bomba yang berjaya mengawal kebakaran sekali gus menyelamatkan stor simpanan senjata yang terletak berhampiran bengkel ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Mohd Roze, bangunan bengkel itu sudah lama beroperasi iaitu lebih 40 tahun.

Sementara itu, Bomba Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan api kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 5.33 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam 10.59 pagi tadi.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Sayani Saidon dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Mohamadul Ehsan Mohd Zain turut hadir ke lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN

13 kenderaan polis di IPK Kedah terbakar

MalaysiaGazette hari ini melaporkan kira-kira 13 kereta serta motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Jalan Stadium di sini, musnah dalam satu kebakaran.

Kebakaran membabitkan bangunan bengkel kenderaan, pejabat pengangkutan IPK Kedah itu berlaku pada jam 4.45 pagi. – MalaysiaGazette