KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan kini bersiap siaga dalam membuat persiapan menghadapi banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.
Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata demikian selepas menghadiri Mensyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara di sini hari ini.
“Saya mewakili Wilayah Persekutuan telah membuat persediaan di peringkat DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), Putrajaya dan Labuan yang mana kita akan menyelenggarakan tempat perpindahan dan juga cadangan untuk menyediakan makanan dalam bungkusan.
“Seperti di sini (Kuala Lumpur) kita dekat dengan kemudahan, kalau ada kawasan lain banjir tiada masalah untuk kita bekalkan makanan kepada mangsa-mangsa banjir. Kita boleh menempatkan 24,000 orang di semua pusat pemindahan yang telah kita sediakan. Insya-Allah,” katanya.
Tambah Shahidan, sebanyak 25 kawasan titik panas di sekitar Kuala Lumpur telah dikenal pasti berlaku banjir kilat dan akan dipantau sekiranya berlaku limpahan air sungai seperti sebelum ini.
“Kita sedang berusaha untuk menghadapi banjir ini dalam pelbagai bentuk tapi buat masa ini usaha kita untuk membina tembok masih dalam proses mungkin tidak boleh siap dalam masa terdekat.
“Kita masih menggunakan guni pasir sebagai alternatif bagi menghalang air Sungai Klang melimpah,” ujarnya.
Beliau sebelum itu melawat gerai pameran dan merasmikan Program AMBOI! Lakar Seni Malaysia 2022 di Laman dan Pesisir River of Life di ibu negara hari ini.
Program yang julung kali dianjurkan ini telah bermula sejak 9 hingga 18 September akan menampilkan lebih 40 reruai pelukis tanah air dan jemputan antarabangsa untuk ‘kampung seni’.
Program AMBOI! bertujuan untuk merakyatkan seni lukis jalanan sekaligus membawa penggiat seni dan karya seni secara dekat kepada warga kota yang berkunjung.
Ia juga sebahagian daripada pelan holistik pembangunan dan penjenamaan Kuala Lumpur sebagai hab seni dan budaya negara. Bukan itu sahaja program ini adalah urban content baharu selaras dengan aspirasi menjadikan kora raya sebagai soul city. – MalaysiaGazette