Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas sekali lagi menganjurkan penyatuan dalam kalangan orang Melayu dan Islam supaya bernaung di bawah satu bumbung.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man beralasan penyatuan merupakan paksi kepada perpaduan nasional terutamanya bagi orang Melayu serta kepelbagaian kaum di negara ini.

“Semua parti di bawah agenda Penyatuan Ummah adalah rakan ta’awun. Pas terbuka berbincang dan berunding, mencari titik pertemuan dan merapatkan jurang perbezaan dengan rakan ta’awun.

“Penyatuan Ummah adalah teras pemerintahan #MalaysiaSejahtera, kerajaan berintegriti, berkebajikan dan adil kepada semua. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ta’awun bermakna tolong menolong dalam bahasa Arab.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah memutuskan untuk terus konsisten dan komited dengan agenda Penyatuan Ummah.

Takiyuddin berkata, ia akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Pas, kata Takiyuddin akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan ta’awun dengan memfokuskan kepada titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.

Malah tindakan itu juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak Pas Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar Pas Ke-68 di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, Pas mengadakan tahaluf siyasi bersama dengan PKR dan DAP  membentuk Pakatan Rakyat.

Selepas PRU-14 pada 2018 lalu, Pas menganjurkan konsep rakan ta’awun (kerjasama) dengan UMNO atau disebut juga tahaluf siyasi (perjanjian politik) melalui Muafakat Nasional.

Bagaimanapun, kerjasama itu ‘runtuh’ selepas Pas bertindak menyertai Perikatan Nasional iaitu gabungan diketuai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan serpihan UMNO. – MalaysiaGazette