Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah menghadiri prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menetapkan 28 September depan bagi keputusan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggantung prosiding kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta. 


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 28 September depan bagi keputusan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggantung prosiding kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta. 

Permohonan Muhammad Shafee dilakukan kerana mahu menunggu penyelesaian rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Menurut peguam Muhammad Shafee, Wee Yeong Kang, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terbabit semasa prosiding dalam talian.

”Ketika ini tarikh pendengaran rayuan di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia itu masih belum ditetapkan,” katanya kepada media, hari ini. 

Pada 27 September tahun lepas, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus.

Antara alasan dikemukan LHDN ialah defenden gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Lembaga itu juga memfailkan saman pada 6 Mei tahun lepas mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Pada 3 November lalu, Muhammad Shafee memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN, diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee memberi alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu. – MalaysiaGazette