Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, Sepang. Foto MUHD NA'IM,13 SEPTEMBER 2022.

SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berusaha mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kementerian tersebut melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha menjelang pemilihan semula bagi penggal keenam berturut-turut dalam Majlis ICAO bagi penggal 2022-2025 tidak lama lagi.

“Kita banyak melakukan inisiatif yang telah, sedang dan akan dilakukan walaupun bukan semata-mata nak kekalkan kerusi.

“Selain pemilihan, tahun depan kita akan berdepan dengan audit ini juga satu perkara penting,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian selepas  merasmikan merasmikan Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang turut dihadiri  Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan CEO CAAM, Kapten Chester Voo Chee Soon.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Ka Siong berkata, Program  Keselamatan Penerbangan Kebangsaan merupakan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan dan perihal selamat dalam industri penerbangan awam negara.

Jelasnya, Malaysia sebagai sebuah negara anggota ICAO bertanggungjawab membangunkan dan melaksanakan program ini untuk memastikan pengoperasian penerbangan awam yang selamat, bersepadu dan moden di pelbagai peringkat penyedia perkhidmatan penerbangan awam.

“Untuk makluman, Annex 19 – Safety Management, Chicago Convention antara lain, telah mensyaratkan semua negara pejanji ICAO untuk menyediakan sebuah dokumen Program Keselamatan Negara (SSP) sebagai panduan pelaksanaan Program Keselamatan Kebangsaan bagi mencapai pematuhan piawaian keselamatan industri penerbangan awam negara sepertimana yang ditetapkan oleh badan antarabangsa itu,” katanya. -MalaysiaGazette