Thiban Subramaniam

KUALA LUMPUR – PKR Cabang Hulu Selangor sebulat suara mahu mendesak pucuk pimpinan tertinggi menolak sebarang kerjasama dan penglibatan dengan Parti MUDA.

Menurut Ketua Cabang Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam dalam satu kenyataan, pihaknya tidak yakin dengan komitmen parti itu mendukung agenda reformasi.

“Sikap pimpinan Parti MUDA yang seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada PH secara keseluruhan.

“Keteguhan MUDA dalam mendukung agenda Reformasi mahupun menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal Perdana Menteri juga belum meyakinkan sama sekali.

“Lagi menjadi kegusaran adalah imej Presiden MUDA itu sendiri iaitu Syes Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan anak didik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebabkan rata-rata penyokong PH agak ragu-ragu dalam meneruskan sokongan.

“Sikap Tun Dr. Mahathir yang secara jelas memusuhi Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dikhuatiri akan mempengaruhi pemikiran dan gaya politik Syed Sadie malah sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan yang jelas oleh beliau dalam menolak kepimpinan bobrok Tun Dr. Mahathir,” katanya.

Dalam pada itu, Thiban turut berkata, kepimpinan Cabang Hulu Selangor juga khuatir MUDA menjadi ‘kuda trojan’ bagi pihak-pihak tertentu.

“Kita risau jika adanya unsur sabotaj kebangkitan rakyat diterajui PH. Ini adalah risiko yang mampu menggugat kejayaan PH pada PRU-15 akan datang.

“Oleh itu kami menegaskan sekali lagi pendirian Cabang Kuala Selangor menolak kerjasama PH-Muda,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast