Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hanya mampu bertahan selama 22 bulan setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hasil penipuan dan harapan palsu yang ditaburkan kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kini Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang diberi jolokan ‘pakar formula songsang’ muncul lagi untuk menipu rakyat.

“Di Melaka, Johor, Sarawak rakyat dah beri isyarat. Siapa yang terkubur? Rafizi nak tipu apa lagi?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi pada ceramah Rapat Mega Keadilan yang berlangsung di Taman Melawati Gombak, kelmarin.

Dalam ucapan pada majlis yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi meramalkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan terkubur dalam tempoh enam tahun lagi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, Pas tidak lagi mampu membuat ceramah yang besar seperti yang dilakukan oleh PKR pada malam tersebut.

Beliau mendakwa, Pas hanya bersembang dan apabila sudah menjadi kerajaan mereka terikut-ikut dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Selepas PRU-14, Rafizi menjadi sasaran kecaman rakyat yang kecewa apabila PH gagal menunaikan janji-janji mereka termasuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter.

Rafizi ‘menghilangkan diri’ selepas gagal merebut jawatan Timbalan Presiden PKR daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti 2018.

Beliau tiba-tiba muncul semula sebelum pemilihan PKR tahun ini dan mula berkempen untuk mengembalikan keyakinan rakyat yang semakin pudar terhadap PH dan PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast