Thursday, March 28, 2024
Home Sukan Teong Kim dilantik ketua jurulatih baharu Perak FC

Teong Kim dilantik ketua jurulatih baharu Perak FC

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) mengumumkan perlantikan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu pasukan tersebut untuk saingan Liga Malaysia musim 2023.

Teong Kim merupakan bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan belum mempunyai pengalaman mengendalikan mana-mana pasukan Liga Malaysia setakat ini.

“Saya ingin membantu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Perak FC.

Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos & Emre Can.

Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC, mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, selain pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013, Teong Kim kemudian dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari pada 2016.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, sudah tiba masanya untuk PFC menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami.

“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu. Pandangan Encik Lim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan,” katanya dalam kenyataan sama.

Sebelum ini, TRW Kelantan melalui pemiliknya, ZamSaham meluahkan hasrat untuk mendapatkan khidmat Teong Kim namun ia tidak menjadi kenyataan apabila Perak terlebih dahulu membuat tawaran rasmi bagi menggantikan tempat Yusri Che Lah.

Yusri akan diberi peranan baru untuk membangunkan skuad B-23 musim depan selepas perlawanan dengan Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 September ini  dengan proses penyerahan dimuktamadkan sebelum pramusim 2023. – MalaysiaGazette