Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pemberian moratorium pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hanya boleh direalisasikan sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) 2.0.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, MOU yang ditandatangani pada 13 September 2021 membuktikan cadangan PH diterima bagi pengecualian kadar faedah dan moratorium pinjaman bank untuk kumpulan berpendapatan rendah.

“Malah suntikan tunai tambahan RM45 bilion untuk memberi bantuan kewangan tambahan dan geran bagi membantu perniagaan terutamanya PKS juga telah diterima pakai kerajaan.

“Faedah tambahan yang dinikmati oleh orang ramai dan perniagaan hari ini adalah hasil langsung daripada MOU yang ditandatangani antara semua pemimpin tertinggi PH dan Perdana Menteri.

“Moratorium pinjaman bank kali ini hanya akan berlaku jika terdapat satu lagi MOU yang serupa antara PH dan Perdana Menteri atau jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ringgit Malaysia (RM) turun lebih rendah berbanding dolar AS pada RM4.51 memberi tekanan kepada kos input dan bahan yang diimport bagi banyak perniagaan, terutamanya PKS.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada PKS, sebaliknya ia bergantung kepada bank.

Menurutnya, kerajaan tidak memiliki bank, sebaliknya hanya menggalakkan dasar yang membantu rakyat dan banyak inisiatif telah dilaksanakan dalam membantu pemulihan PKS dan mikro seperti yang diumum dalam Bajet 2022.

Dalam pada itu, Guan Eng mendakwa, keputusan pemberian moratorium itu tidak tertakluk kepada bank, sebaliknya tertakluk kepada kemahuan politik dan bukan pertimbangan perbankan swasta yang terbukti dalam MOU 1.0.

“PH akan memberikan sokongan politik dan awam yang diperlukan bukan sahaja untuk moratorium pinjaman bank tetapi juga untuk pengecualian kadar faedah bagi tempoh tertentu untuk membantu kumpulan sasar.

“Kerajaan harus memberi keutamaan kepada keperluan rakyat berbanding pertimbangan keuntungan yang lebih daripada cukup bagi sektor perbankan,” katanya. – MalaysiaGazette