Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (berkopiah) ketika menziarahi penduduk di Kampung Iboi, Baling di Kedah baru-baru ini.

KUANTAN – Kerajaan Pahang mengagihkan sumbangan sejumlah RM203,400 bagi membantu 1, 017 orang mangsa banjir di Kampung Iboi, Baling di Kedah baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia sumbangan kutipan derma orang ramai di setiap masjid di negeri itu sejak bulan lalu selepas dititahkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.

“Alhamdulillah, syukur secara keseluruhannya kita dapat mengumpulkan lebih RM200,000 untuk diagihkan kepada semua mangsa banjir terbabit.

“Kita di Pahang bersimpati atas musibah yang dialami kerana kami pernah mengalami musibah serupa sebelum ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Syed Ibrahim, lawatan dua hari itu turut diiringi barisan kepimpinan beberapa bahagian UMNO Pahang dan turut dihadiri Ketua UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim.

Manakala sesi agihan Majlis Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa Bencana Banjir ‘Tragedi Kepala Air Iboi’ diselaraskan oleh urusetia Jabatan Agama Islam Pahang bersama pengarahnya, Datuk Zulkifli Ali Al Hafiz.

Syed Ibrahim yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 daripada Kerajaan Pahang kepada pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat.

“Sumbangan itu untuk empat masjid dan satu surau yang PPS ketika selepas berlaku bencana banjir disebabkan kepala air sebanyak dua kali dalam tempoh dua bulan.

“Kami dibawa melawat ke lokasi seperti Jambatan Bailey Kampung Iboi yang hanyut, perkampungan di mana rumah-rumah yang turut musnah serta individu yang terjejas teruk,” katanya. – MalaysiaGazette