KUALA LUMPUR – Kepimpinan utama UMNO atau Top Five tidak akan mengadakan pertemuan minggu ini selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ditangguhkan.
Justeru itu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, satu tarikh baharu mesyuarat itu akan ditentukan dalam minggu depan.
“Perjumpaan MKT Khas sudah dipinda dan ditangguhkan.
“(Sepatutnya) Sabtu ini mesyuarat MKT Khas tapi sudah ditangguhkan, jadi kita tunggu tarikh daripada Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan).
“Ya (Top Five UMNO akan mengadakan perbincangan dahulu sebelum mesyuarat MKT). (Mesyuarat ) sebelum mesyuarat MKT akan (mengadakan) bincang balik. Biasanya begitu.
“Sebelum (mesyuarat) MKT, akan ada mesyuarat Top Five dan Biro Politik UMNO,” katanya selepas menghadiri Majlis Aspresiasi Pavilion Malaysia Dubai 2020 di ibu negara malam ini.
Untuk rekod, Top Five UMNO akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum mesyuarat Biro Politik UMNO mengambil tempat dan mesyuarat MKT pada sebelah malamnya.
Ismail Sabri sebelum ini menegaskan beliau akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.
Beliau berkata, pertemuan itu akan dibuat sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.
Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan beliau belum berbincang dengan Top Five UMNO berhubung tarikh pilihan raya umum. – MalaysiaGazette