Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengajak rakyat yang bencikan ‘pembodohan’ dan penyelewengan untuk bertemu beliau di Johor, Melaka dan seluruh negara.

Rafizi berkata, turut bersama adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang akan menyampaikan pandangan mereka mengenai masa depan negara dalam jelajah tersebut.

“Saya ajak seberapa ramai rakyat yang membenci pembodohan dan penyelewengan berjumpa saya dan saudari Izzah di sepanjang jelajah trak #AyuhMalaysia untuk mendengar sendiri pandangan kami mengenai masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Rafizi mendakwa momentum kempen #AyuhMalaysia itu akan diteruskan dan setakat ini terdapat tanda bahawa pengundi atas pagar di seluruh negara telah beralihan sokongan.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, masih banyak yang perlu dibuktikan oleh PKR untuk meyakinkan pengundi untuk memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Jadi kita perlu terus berlari. Saya dan Izzah akan ke Johor dan Melaka hujung minggu ini Sabtu, 17 September dan Ahad, 18 September.

“Kempen bermula jam 3 petang 17 September dengan siri latihan PACA untuk sukarelawan di Johor Baharu.

“Untuk jelajah trak pada hari Sabtu, 17 September, saya akan bermula di Simpang Renggam dan Saudari Izzah akan bermula di Johor Baharu, kedua-duanya bermula serentak jam 9 malam,” katanya.

Menurut Rafizi, beliau juga akan melancarkan kempen lapangan PKR yang melibatkan 600 pengurus kempen lapangan dari seluruh negara.

Kempen lapangan PKR akan bermula besar-besaran dari minggu depan dengan sasaran menghubungi 20,000 pengundi atas pagar setiap minggu di seluruh negara.

“Selepas itu, saya akan bergegas balik ke Batu Pahat untuk mengumumkan barisan kepimpinan PKR Johor dan strategi pilihanraya.

“Sidang media bersama kepimpinan penuh PKR Johor bermula jam 1.30 petang.

“Jam 5 petang, saya dan trak akan berada di Parlimen Ledang dan berakhir di Parlimen Tangga Batu pada sebelah malamnya,” kata beliau.

Rafizi mendakwa sehingga kini PKR sedikit demi sedikit telah berjaya berjaya membina momentum yang menggoyangkan keyakinan Kerajaan yang dipimpin secara bersama oleh Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazatte

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast