Gambar kenangan Najib bersama Samy Vellu.

KUALA LUMPUR – Jasa dan sumbangan mendiang Tun S. Samy Vellu kekal dalam ingatan dan hati semua rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap keluarga mendiang tabah menghadapi dugaan yang sedang dihadapi.

Katanya, Samy Vellu yang berkhidmat selama kira-kira 25 tahun dalam Kabinet telah menyumbang kepada perkhidmatan awam dan pembangunan negara yang pesat dengan infrastruktur dan kesalinghubungan antara bandar dan luar bandar.

Usaha dan inisiatif mendiang bagi membantu masyarakat India telah menjadi inspirasi bagi generasi seterusnya dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India.

Pelan itu kata Najib, bagi meningkatkan peluang keusahawanan dan kebajikan masyarakat India secara komprehensif.

“Takziah kepada keluarga bekas Presiden MIC, Tun Samy Vellu yang meninggal dunia awal pagi tadi.

“Mendiang seorang yang sentiasa memperjuangkan dan mengutamakan peluang pendidikan untuk bukan sahaja masyarakat India malah golongan yang memerlukan secara keseluruhannya.

“Banyak institusi dan program pendidikan seperti AIMST yang diusahakannya, serta sumbangannya kepada sekolah-sekolah menengah dan rendah,” kata Najib melalui Facebook yang ditulis oleh pentadbirnya.

Bekas Presiden MIC itu meninggal dunia di kediamannya kira-kira jam 7 pagi tadi.

Bekas Menteri Kerja Raya itu meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008. – MalaysiaGazette