Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

SATU ketika dulu ramai yang beranggapan atau mempunyai tafsiran Kementerian Luar Bandar (KPLB) hanya sekadar sebuah kementerian yang menjaga kampung.

Menterinya pun dianggap ‘menteri kampung’ malah kita juga harus mengakui tidak ramai yang mengetahui apa fungsi sebenar KPLB.

Namun ramai yang tidak tahu atau mungkin tidak mahu ambil tahu bahawa KPLB mempunyai jasa cukup besar kepada negara khususnya dalam memajukan kawasan luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan penduduknya.

Perjalanan KPLB bermula pada 17 November 1959 dengan nama Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNB).

Bagaimanapun pada 1976 kementerian itu dimansuhkan dan agensinya diserapkan ke kementerian lain, namun pada 1981 Tun Dr.Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri mengumumkan penubuhan semula KPNLB dan pada 1990 KPNLB ditukar nama kepada KPLB. Pada Mac 2004 KPLB dinamakan sebagai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Biarpun namanya boleh dikatakan sering berubah namun fungsi dan tanggungjawab kementerian itu dalam memaju serta membangunkan masyarakat luar bandar melalui agensi-agensinya tetap tidak berubah.

Sejak ditubuhkan pada 1959 hinggalah ke hari ini, sudah 12 menteri menerajui kementerian itu bermula dengan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan terkini Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Setiap menteri ada cara dan pendekatan serta visi tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab di kementerian itu namun KPLB dilihat lebih dikenali dan berubah wajah apabila Mahdzir menerajuinya.

Mungkin perjalanan karier Ahli Parlimen Padang Terap itu banyak membantu beliau bagaimana mahu mengemudi KPLB.

Selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada tahun 2004, Mahdzir dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri DUN Pedu dan diamanahkan menjaga Portfolio Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Koperasi Negeri.

Dari situ beliau menimba pengalaman dalam menguruskan hal ehwal luar bandar dan ilmunya bertambah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-9 pada 2005. Sebelum menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Menteri Pendidikan dan seterusnya Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kesemua jawatan itu menjadi ramuan penting kepada Mahdzir yang merupakan anak kepada seorang petani untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan di KPLB.
Atas sebab itulah, rakyat dapat menyaksikan bagaimana Mahdzir mengatur strategi di KPLB dengan menggunakan ramuan pengalaman memegang jawatan-jawatan sebelum ini.

Hasilnya KPLB semakin dikenali dan tidak lagi dilihat sebuah ‘kementerian kampung’ sehinggakan prestasi KPLB di bawah Mahdzir menarik perhatian banyak pihak.

Ia terbukti apabila walaupun masih berbaki empat bulan sebelum berakhirnya tahun ini, namun kementerian itu sudah berjaya mencapai sasaran melaksanakan sebahagian besar projek pembangunan dirancangnya sepanjang 2022.

Kejayaan KPLB diumumkan oleh Mahdzir pada majlis perhimpunan bulan Ogos kementerian tersebut.

Kata beliau, projek-projek itu melibatkan projek infrastruktur termasuk jalan perhubungan desa, jalan kampung, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan kemudahan sosial.

Beliau berkata, walaupun berjaya mencapai sasaran, anggota pentadbiran dan kakitangan KPLB diingatkan terus bekerja keras melaksanakan baki tugasan yang masih ada.

Kejayaan mencapai sasaran itu sudah tentulah membanggakan memandangkan ia membuktikan apa yang dikatakan oleh Mahdzir pada Amanat Tahun Baharu 2022 beberapa bulan sebelum itu bukanlah cakap kosong apatah lagi impian kosong.

Pada majlis berkenaan yang diadakan Shah Alam, Mahdzir menegaskan, KPLB meletakkan sasaran menjadikan 2022 sebagai tahun untuk menyegerakan setiap projek pembangunan yang dijalankan di luar bandar.

Tegas beliau, kementerian itu memerlukan anjakan paradigma dalam proses kerjanya bagi mengelakkan tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sekarang ini masa untuk kita fikirkan dengan dunia teknologi digital, bagaimana kaedahnya untuk kita mempercepatkan proses pelaksanaan projek. Semua orang kata kita tak boleh buat. Jadi, bagaimana kita nak ubah paradigma ini untuk pastikan kita boleh buat,’’ tegasnya.

Dan ternyata impian sudah menjadi kenyataan biar pun masih ada sebahagian lagi projek yang harus dilaksanakan.

Namun apa yang penting KPLB mencapai kejayaan membanggakan. Menariknya, ia bukan sekadar berkisar kepada soal pembangunan semata-mata tetapi juga pembangunan insan dan mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar.

Dari segi pendidikan, pada bulan lalu, Mahdzir memaklumkan kadar kebolehpasaran siswazah lulusan Insitusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan KPLB (TVET@KPLB) telah melebihi paras standard nasional yang ditetapkan.

Purata kadar kebolehpasaran siswazah bagi seluruh institusi pendidikan TVET@KPLB kini mencapai 87.67 peratus, manakala kadar kebolehpasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional yang ditetapkan adalah 86.7 peratus yang perlu dicapai pada 2025.

“Kadar kebolehpasaran yang melebihi paras standard nasional ini secara tidak langsung mencerminkan bahawa pendidikan TVET yang dibekalkan oleh institusi TVET di KPLB berupaya menyediakan kebolehkerjaan dan laluan kerjaya yang cerah kepada para siswazah,” katanya.

Selain itu Mahdzir juga bertanggungjawab membela nasib pembantu tabika kendalian Kemas memperoleh elaun RM500 sebulan.

Pada Jun lalu, beliau memberitahu, kertas kerja cadangan menaikkan elaun pembantu tabika telah dihantar untuk perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Hasilnya, Pada 28 Ogos lalu, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat (PPM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada RM800 berbanding RM500 sebelum ini.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hadapan 7,000 warga Kemas ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang.

Sebagai seorang anak petani, Mahdzir memahami denyut nadi masyarakat luar bandar. Berikutan itulah, KPLB meletakkan harapan agar kawasan luar bandar boleh berfungsi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang mampan menjelang 2030.

Kata Mahdzir, keusahawanan boleh menjadi aktiviti utama masyarakat luar bandar, bagi memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati kehidupan lengkap dan selesa sama seperti penduduk yang tinggal di bandar.

Sehingga kini terdapat lebih 64,000 usahawan di bawah KPLB yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan dan terdapat juga usahawan yang sudah menembusi pasaran antarabangsa.

Bagi beliau, ia merupakan satu kebanggaan bagi pihak kementerian dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan Rural To Global.

Kesimpulannya, kehadiran Mahdzir yang membawa bersama pengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri, Menteri Besar Kedah, Menteri Pendidikan dan Pengerusi TNB ke KPLB membolehkan kementerian itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dan kini hampir menepati taglinenya ‘Luar Bandar, Luar Biasa’ . – MalaysiaGazette