Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 3 dan bayaran rayuan akan mula dikreditkan ke akaun penerima pada 20 September ini secara berperingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran keseluruhan berjumlah RM2.2 bilion bakal memanfaatkan 8.7 juta penerima sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta bagi yang telah lulus Rayuan BKM.

Menurut beliau, BKM Fasa 3 akan menerima RM900.

“Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori
kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan Kerajaan pada Jun yang lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, bayaran Fasa 3 BKM dan Rayuan dijangka berakhir pada 29 September.

Sebagai rekod, sehingga bulan ini, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.

Dalam masa yang sama beliau berkata, bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion pula akan disalurkan yang layak pada Disember tahun ini.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.- MalaysiaGazette