KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus dikritik kerana didakwa mempamerkan sifat terdesak menyerang Pakatan Harapan (PH) lagi-lagi dalam kalangan yang bukan Islam dan Melayu.
Malah beliau didakwa semakin lupa diri, tiada prinsip sekaligus tidak layak menjadi pemimpin apabila menuduh pimpinan pembangkang tidak bermoral.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R. Ramanan, Pas dipimpin Abdul Hadi ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Ini juga bukan kali pertama sebenarnya saya cakap perkara ini, sejak dulu lagi saya amat hormat kepada kepimpinan Allayarham Nik Aziz yang penuh cukup berbeza pendekatannya, tiada hasutan atau menjatuhkan pihak lain atas nama Islam.
“Tetapi Pas hari ini dengan Abdul Hadi sangat berbeza. Saya rasa sungguh pelik dengan tindak tanduknya, tidak habis menyerang PH. Adakah kerana PH tidak langsung berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas?
“Saya juga rasa Abdul Hadi begitu terdesak untuk publisiti murahan kerana sokongan terhadap beliau dan partinya semakin lama semakin merudum lagi-lagi dengan kenyataan ‘sampah’ sejak akhir-akhir ini yang menyerang rakyat bukan bumiputra dan bukan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sambung Ramanan, Abdul Hadi sejak kebelakangan ini begitu teruja dalam menyerang pihak lain menggunakan kaum dan kepercayaan khasnya pimpinan PH.
“Pada awalnya beliau tuduh yang paling banyak melakukan rasuah sekaligus merasakan ekonomi adalah golongan bukan bumiputera dan bukan Islam, apabila mendapat kritikan terus konco-konconya termasuklah Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) terkinja-kinja menukar cerita.
“Itu juga kerana ketika muktamar yang diadakan baru-baru ini, barulah Pas sedar jika hendak menang mereka perlu undi masyarakat Cina, India dan lain-lain selain Melayu Islam. Ketika itu buat pusingan U dengan mendakwa kenyataan itu hanya untuk PH.
“Hari ini nyanyuk Abdul Hadi datang lagi, kata PH tidak bermoral, kafir dan tak beriman. Ingat lagi dulu semua ini dia tuduh UMNO sekarang dia tuduh PH. Memang betul-betul tidak logik Abdul Hadi ini, adakah Islam mengajar semua ini?” soalnya. – MalaysiaGazette