Datuk Seri Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan jawatankuasa bagi menilai kedudukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang membuat permohonan untuk menyertai gabungan parti itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sendiri anggota dalam Majlis Presiden PH dan semalam Datuk Seri Anwar sudah sebut jelas untuk tubuhkan jawatankuasa bagi berjumpa dan mengadakan rundingan dengan MUDA.

“Itu tahap yang boleh saya beritahu sekarang, ia akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat tetapi ada langkah yang perlu diikuti.

“PH terbuka dan boleh terima permohonan tetapi kami ada beberapa tindakan yang harus dilalui dulu, parameter yang harus kami jelaskan kepada semua parti yang berhasrat bersama kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional 2022, di Seremban hari ini.

Sebelum ini Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul dilaporkan berkata, persetujuan untuk pihaknya menyertai PH telah diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya MUDA.

Ahli Parlimen Muar itu memberitahu, MUDA turut terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung hal itu.

Perkara tersebut dikatakan menimbulkan polemik terutama di laman sosial apabila ada yang tidak bersetuju MUAD untuk menyertai PH.

Sementara itu Salahuddin memaklumkan, Amanah sudah mencapai 70 peratus dalam menentukan calon-calon parti yang akan ditampilkan bagi mewakili PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ujarnya, rundingan kerusi antara kesemua parti komponen PH juga sudah hampir selesai termasuk berhubung soal kerusi yang telah ditinggalkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

‘Boleh saya katakan, hampir 70 peratus daripada kerusi-kerusi Bersatu yang ditinggalkan itu, telah pun berjaya dirundingi dan kami ambil ketetapan sebelum 30 September, semua rundingan kerusi ini dapat diselesaikan.

“Kami tidak nampak banyak masalah, kerana hanya agihkan kerusi-kerusi yang ditinggalkan itu sahaja, yang menang, yang telah ditandingi sebelum ini, kami bersetuju untuk status quo (sebagaimana sedia ada).

“Amanah mungkin menyasarkan 40 hingga 45 kerusi sahaja. Kami mengambil kira kekuatan kami, saya rasa itu munasabah. AWAN, Pemuda Amanah, semuanya akan ada kerusi untuk mereka bertanding,” tambahnya. – MalaysiaGazette