KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat bertanding lebih 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lebih empat kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Nasional Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, semua bakal calon dan kawasan sudah di buat saringan dan dikenal pasti.
“Kita akan turun padang membuat survei sama ada mereka-mereka (calon) yang dipilih ini membuat kerja seperti yang diharapkan atau tidak.
“Sekiranya mendapat laporan yang diterima oleh masyarakat lain berbanding laporan yang diberi. Kita akan membuat pertimbangan balik untuk calon itu,” katanya pada sidang media hari ini di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang.
Menurut beliau, untuk kali ini jawatankuasa pusat menerapkan tiga kriteria penting untuk layak menjadi calon seperti boleh menang, boleh diterima dan bermampuan.
Tambah beliau, Gerakan juga kini menjemput rakan-rakan perjuangan yang lama seperti bekas ahli Parlimen dan DUN serta Pengerusi Negeri untuk memberi pandangan dan nasihat untuk parti berjuang di PRU15.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, kesemua senarai calon mewakili negeri ini sudah diserahkan kepada pusat.
Jadi semua terserah kepada jawatankusa pusat parti untuk membuat berundingan dengan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.
“Apa yang saya dapat jelaskan ialah semuanya dalam proses perundingan bersama Perikatan Nasional. Dari pihak kami sudah bersiap sedia,” jelasnya.
Dalam pada itu antara isu terbesar yang sedang parti perjuangkan ketika ini adalah mengenai isu banjir berlarutan, kesesakan lalu lintas dan perumahan kos rendah.
Kerajaan DAP sudah 14 tahun memerintah negeri ini tapi mereka (DAP) masih tidak dapat selesaikan isu-isu serius ini yang memberi kesusahan kepada rakyat, ujarnya. – MalaysiaGazette