KUALA LUMPUR – Presidan Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan mungkin sudah nyanyuk selepas mendakwa pemimpin Pakatan Harapan ‘tidak beriman dan tidak bermoral’.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, Abdul Hadi melemparkan tuduhan tanpa memberi sebarang bukti bahawa pemimpin dalam PH tidak bermoral.
“Semua orang hentam dia. Saya rasa dia sudah nyanyuk. (Cakap) Tanpa bukti. Kalau dia nak tuduh kita rasuah dia kena cakap siapa yang terlibat dan sebagainya.
“Dulu dia yang begitu kritikal terhadap kelakuan rasuah oleh Barisan Nasional dan UMNO tapi sekarang dia bertukar.
“Dia boleh tuduh tapi dia ada bukti ke? Siapa ada RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun dia. Siapa yang ada pakaian mewah atau kehidupan luar biasa. Semua ini dia tidak sentuh dia cakap secara umum sahaja,” kata Teresa kepada MalaysiaGazette.
Ahli Parlimen Seputeh itu ditemui dalam Program Keluarga Malaysia @Cuci anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raden Anum 4, Sri Petaling di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Teresa berkata, dengan kenyataan yang dikeluarkan adakah Abdul Hadi berharap PH akan menyaman beliau.
Sementara itu bekas Menteri Industri Utama itu turut mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi dan beberapa pemimpin parti Islam itu yang menolak sebarang kerajasama dengan PH.
Menurut Teresa, sehingga kini tidak ada seorang pun pemimpin PH yang menjemput Pas untuk bersama-sama PH.
“Tak ada. Siapa mahu mereka. UMNO pun sekarang tidak mahu.
“Saya tanya dia adakah dia nak jemput kita untuk saman dia? Ya lah dia tuduh Pakatan Harapan begitu sahaja (tanpa bukti),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan parti Islam itu tidak akan membentuk kerjasama dengan PH termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.
“PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya,” katanya.
Abdul Hadi mendakwa ini kerana ramai dikalangan pimpinan PH ‘tidak beriman dan tidak bermoral’.
Menurut ahli parlimen Marang itu, PH ketika menghadapi PRU14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.
“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.
“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga),” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas.-MalaysiaGazette