Pihak bomba memadamkan api dalam kejadian kemalangan di Tongkang Pechah malam tadi.

BATU PAHAT – Seorang lelaki mati rentung dalam kebakaran selepas kereta dinaiki mangsa terlibat dalam kemalangan di Batu 7, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini malam semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Penguasa Bomba Ayub Majid berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 10.54 malam.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati sebuah kereta jenis Range Rover (nombor pendaftaran tidak dapat dikenalpasti) telah terbabas dan terbakar.

“Kebakaran telah memusnahkan 90% daripada keseluruhan kereta. Kemalangan telah mengakibatkan seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan terbakar.

“Terdapat dua orang lelaki dewasa dikeluarkan oleh orang awam sebelum PKO tiba di lokasi dan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan,”jelas beliau.

Beliau berkata, seramai 16 anggota dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Operasi menyelamat mangsa tamat pada jam 12.30 tengah malam.- MalaysiaGazette